KUALA LUMPUR: Majlis Anugerah World Muslimpreneur akan diadakan buat julung kalinya pada Januari depan bagi mengiktiraf, meraikan serta menghargai usahawan serta jenama milik perniagaan orang Islam di Malaysia.
Ia akan berlangsung pada 28 Januari 2023, bertempat di Hotel The St Regist Kuala Lumpur dan akan dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam.
Majlis itu dianjurkan Sekretariat World Muslimpreneur dengan Kerjasama IKON Malaysia dan Kaya N Kaya Viral Sdn Bhd.
Ahli Lembaga Pengarah Sekretariat World Muslimpreneur, Profesor Adjung Adam Richman, berkata penganjuran majlis anugerah itu adalah suatu ruang dan peluang bagi usahawan serta jenama milik orang Islam mendapat pengiktirafan sewajarnya atas usaha serta kejayaan mereka dalam sektor ekonomi serta industri yang mereka ceburi.
Beliau berkata, sebenarnya, perniagaan serta jenama milik orang Islam telah lama menjadi tunjang utama kepada pengukuhan serta peningkatan ekonomi dunia secara umumnya, serta Malaysia secara khususnya.
Namun, katanya, mereka tidak mendapat pengiktirafan serta penghargaan yang sewajarnya.
“Justeru, dengan penganjuran Anugerah World Muslimpreneur ini, segala penat lelah serta pengorbanan mereka akhirnya akan mendapat perhatian yang sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Anugerah World Muslimpreneur juga turut di sokong oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) serta Malaysian Consultative Council of Islamic Organization (MAPIM).
Anugerah itu turut di Akreditasikan oleh Pertubuhan Pengarah-Pengarah Syarikat Malaysia (MOCAD) serta mendapat sokongan beberapa rakan strategik termasuk ToyyibPay.
Sepanjang 2020 hingga 2022, dunia diuji dengan pandemik sekali gus menyaksikan impaknya sangat besar terhadap semua cabang ekonomi serta industri.
Namun begitu, apabila dilihat dari sudut positif, era pandemik telah melahirkan golongan usahawan yang berdaya tahan serta lebih pragmatik dalam memastikan kelangsungan perniagaan serta jenama mereka.
Menyedari hakikat itu, Anugerah World Muslimpreneur dianjurkan bagi mengiktiraf usahawan serta jenama milik perniagaan orang Islam yang telah membuktikan kemampuan serta daya saing mereka di dalam setiap cabang industri sepanjang era pandemik itu, sekali gus menjadikan mereka antara perniagaan serta jenama yang terus berkembang sehingga ke hari ini.
Pencalonan untuk Anugerah World Muslimpreneur masih lagi dibuka untuk Usahawan Muslim serta Jenama milik Perniagaan Muslim di laman sesawang rasmi www.worldmuslimpreneur.com.
Sebarang pertanyaan lanjut, Sekretariat World Muslimpreneur boleh dihubungi melalui talian Hotline 019 777 2180.